Monday, August 29, 2005

Reallifegoeslikethis

Kalaulah..

Kalaulah saya buat begini, bukan begitu. Kalaulah saya tidak lupa. Kalaulah semuanya saya tahu. Kalaulah hati satu dunia, dapat saya jaga. Kalaulah .. dan kalaulah.

Kata teman: Jika 'kalau', bukan setakat kita jadi Agong, beruk pun jadi manusia :)

_________________________

Saya malu. Memang. Memang saya malu. Banyak benda dalam dunia ini wajar saya berasa malu. Banyak hal saya kena malu. Kalau tak, maka hilanglah nilai saya sebagai seorang manusia. Manusia kena malu dengan salahnya. Dengan dosanya.

Tentu bila teringat-ingat begini, saya akan mula mempersoalkan : Kenapalah aku tidak berfikir seperti itu? Kenapalah dah jadi seperti ini?

Seolah-olah dengan menyalah-nyalahkan itu maka apa yang telah berlaku akan padam daripada lipatan sejarah dan tertulislah yang baru.

Yang sebenarnya tidak. Bahkan apa yang tersurat itu akan tetap utuh. Langsung tidak terjejas. Macam sia-sia saja perbuatan 'kalau' dan 'kalau' itu.

Saya minta maaf pada teman jika saya terlalu lama 'menghilang'. Malukah, sibukkah, atau apa-apa sahaja alasan saya, itu langsung bukanlah hujah untuk saya langsung tiada hubungi kalian. Saya bersalah. Mungkin juga saya telah berdosa.

Maafkan saya. Sependek itu. Jika panjang, ia akan jadi madah berhelah.

Mana mungkin saya lupa kalian? Mana mungkin saya lupa teman dan kawan? Orang yang jika susah langsung tidak mahu menyusahkan, tetapi jika senang, amat sangat ingin memberi bahagian.

Katakan saja begini: Dia di dalam kepompong. Kepompong menyaluti dia, jadi kalian takkan nampak apa-apa. Tunggu. Nanti dia akan keluar daripada situ dan terbang pantas-pantas ke arah temannya.
__________________________

Dalam hidup kita, alangkah banyaknya 'kalau'.

'Kalau' adalah logik kita dalam memahami sesuatu. Ketidakmampuan kita menerima takdir. Percubaan kita dalam mencari alternatif.

Dengan adanya 'kalau', kita cuba berunding dengan diri mengenai peluang-peluang yang telah ada. Mengenai 'kesalahan' pilihan kita dan keberuntungan yang mungkin ada apabila membuat pilihan yang lain.

'Kalau' adalah permainan paling licik. Kata bijaksana, ia senjata syaitan paling ampuh. Dengan meng'kalau'kan situasi, kita cuba untuk tidak bertanggungjawab dan lari jauh-jauh daripada apa yang telah kita sendiri pilih. Seolah-olah kita buta semasa mengambil keputusan dan baru kinilah kita celik.

Bermain dengan 'kalau' memang seronok. Ego kita terubat. Kita terasa suci daripada bersalah. Sungguh-sungguh tanggungjawab itu datang dalam rasa yang berat dan dalam.

Pun begitu, 'kalau' boleh dijinakkan jika kita melihat sesuatu itu sebagai pilihan. Yang berlaku itu pengajaran, kita ambil dan pikul bebannya dan nanti kita nampak altenatif lain dalam membuat keputusan.

Sama-sama kita ingat : Betul atau Salah bagi manusia adalah kerana MASA dan TEMPAT.

Tuesday, August 23, 2005

mytheory28

Yang Hilang.


Katakan saja kisahnya begini:

Awak dan saya sedang berjalan-jalan. Kita ini dua-dua pun sibuk-sibuk saja dan baru hari ini punya masa untuk rewang.

Langkah awak sangat pendek. Langkah saya pula biarpun panjang-panjang, namun amat perlahan . Awak bercerita pada saya tentang 1001 satu benda dan saya mendengar dengan mata yang bulat. Kepala pula terangguk-angguk.

Boleh nampak situasi itu?

Tiba-tiba saja pandangan saya yang sepenuhnya terarah pada awak beralih pada benda lain. Awak rasa kurang senang. Awak diam dan lihat juga. Entah apa yang menarik perhatian saya itu.

Awak nampak seorang lelaki. Dalam umur 20-an. Baju merah belang-belang. Seluar khaki pendek warna coklat. Rambut agak panjang tak bersikat. Dia nampak tercari-cari sesuatu.

Oleh sebab kita ini prihatin orangnya (betul,kan?) , maka kita hampiri dia. Mulut awak diam saja. Tangan awak yang menolak-nolak saya. Saya faham. Awak nak saya tanya dia.

Saya pun tanyalah. "Apa yang saudara cari?"

"Hah?" (Dia melopong sambil tengok saya. Dia nampak macam keliru.)

"Aku hilang." kata dia lagi.

(Awak dan saya berpandangan sesama sendiri. Ekspresi muka kita menggambarkan: mestilah kau hilang sesuatu. Aku fahamlah bila tengok perbuatan kau tu)

Oleh sebab kita ini penyabar orangnya (ini pun betul,kan?), maka awak sekali lagi mencuit-cuit saya.

Saya bertanya lagi:

"Apa yang saudara hilang? Kalau saya boleh tolong cari"

Saya senyum. Bergula sekali. Mujur dia straight. Kalau gay, tentu dia dah jatuh hati.

Peliknya dia pandang kita dengan muka tercengang. Muka yang sangat amat menggambarkan ketidakpercayaan dia.

"Aku hilang diri. Mana kau nak cari?"

Dan kita dua-dua pun diam. Dalam hati kira 1,2,3 sebab nak lari.

.....

Satu hari, saya berasa amat runsing sekali. Semacam ada yang tak kena. Seperti ada yang belum cukup. Apa? Saya pun tak tahu.

Saya rasa kosong. Macam ada lohong di sana sini pada diri saya. Kekurangan ini menyakitkan hati sebab segala kerja jadi tak puas.

Hari itu berlalu dengan normal tanpa ada masalah. Tapi yang kosong itu masih belum hilang. Kata orang pada saya: Itu petanda pada sesuatu yang tak elok bakal datang.

Saya menunggulah 'yang tak elok' itu dengan cemas. Setakat mana buruknya? Bakal ada kemalangan? Akan dimarah orang? Terlupa sesuatu yang penting?

Perasaan tak senang dan penungguan pada nasib tak baik itu berterusan sepanjang saya keluar ke bandar dan menyiapkan urusan saya. Saya tak suka benar perasaan semacam ini. Ia buat saya malas nak senyum dan langsung hilang keinginan untuk gembira.

Sehingga saya naik bas kembali, mahu pulang ke kampus, saya nampak sesuatu. Alasan kegelisahan itu. Sesuatu yang saya kurang itu.

Diri saya sendiri.

Adat orang hilang barang, dia akan gelisah dan mencari-cari. Maka samalah saya di sini. Saya mencari-cari diri. Alangkah luarbiasanya kerana saya tak tersedar bahawa saya sebenarnya dah kehilangan diri.

Apabila kita melakukan dosa, apabila kita mengatakan sesuatu bukan daripada hati kita, apabila kita berbuat sesuatu semata-mata kerana orang, maka kita telah kehilangan diri.

Pernah buat begini?

Sudah 21 tahun lamanya, antara syukur dan menyesal, barulah saya tahu, resah dan gelisah itu datang kerana kehilangan diri. Ia bukan sekadar ramalan masa depan. Bukan nujum Pak Belalang.

Ia adalah alarm. Penggera. Bahawa kita pada saat itu, waktu itu, telah hidup demi sesuatu yang bukan untuk kita. Bukan tugas kita, bukan tujuan kita. Kita telah terpesong.

Kerana itu kita dirunsingkan, dikosongkan. Moga-moga kita cepat sedar dan segera mencari kembali diri. Mencari tujuan sendiri.

Doa pada tuhan: (seperti yang saya ubah daripada puisi Kita Ini Tetamu Senja, karya A Samad Said)

Moga kita ini orang yang datang, dan ingat jalan pulang.

Andai datang dan terlupa jalan pulang; moga tak dilupa tuhan, moga tak dilupa insan.

Friday, August 12, 2005

mytheory27

Pelajaran dari Jerebu

Saya sedang bercuti. Biasanya kalau disebut bercuti,akan dilafazkan cuti itu dengan suara paling riang dan wajah paling ceria. Andaikan mata yang bulat bersinar-sinar (macam anime Jepun), bibir yang melebar senyumnya dan badan yang terjungkit-jungkit.

Tapi saya tengah bercuti kerana jerebu.

Bukan saya tidak mahu gembira, atau sekurang-kurangnya berpura-pura gembira. Ia cuma terlalu sukar. Tekak saya sakit, jadi suara yang keluar hampir saja sedih bunyinya. Mata saya juga sedikit berair kerana pedih, pun itu bukan petanda orang bergembira.

Jadi 'saya tengah bercuti' adalah suatu fakta. 'Bercuti itu sangat menggembirakan' hanyalah suatu inferens atau kesimpulan yang belum tentu betulnya.

Mungkin ia boleh jadi menggembirakan kalau saya berada di kampung. Enak-enak tanpa udara kesat begini :)

..................

Tiap-tiap tahun pun kita jerebu. Yang bezanya cuma adalah samada jerebu itu biasa-biasa saja atau 'mengancam hidup' kita. Sebab dah biasa, maka kita tak ambil peduli sangat. Kita cuma bising sebab ia dah mula menyusahkan.

Pada pandangan saya, kita perlu keluar daripada zon selesa dan mula membuat penelitian terhadap segala sesuatu. HENTIKAN BUDAYA BERTANGGUH. Hentikan budaya boleh menyiapkan sesuatu kerja lebih awal, tetapi sengaja dibiar/ lambatkan kerana 'masih punya masa'.

Samada Suruhanjaya Bertindak Untuk Jerebu, atau Badan Bertindak Alam Sekitar, atau apa-apa sahajalah yang bertindak untuk keadaan 'darurat', kita perlu sentiasa bersedia. Jangan jadi mangsa situasi.

Tsunami datang dan kita kecoh-kecoh. Jerebu datang dan kita bising-bising. Banjir datang dan kita riuh-riuh. Segala macam bantuan, segala jenis perhatian dan segala suatu tindakan.

Lepas tu, diam. Lepas two, three. Normal balik, biasa balik. Buat-buat lupa yang ia boleh datang lagi, mungkin datang lagi.

Sebagai pihak berkuasa, sebarang potensi pada IPU boleh menjadi satu jangkaan untuk tindakan menghadapi jerebu. Tanda-tanda jerebu, bahaya jerebu, cara mengatasi masalah jerebu dan tindakan untuk mengelakkan ancaman kesan jerebu sepatutnya boleh dilaksanakan secara lebih awal dan berkesan. Media tidak patut menjadi satu-satunya sumber sebaran.

Sebagai rakyat, kita sepatutnya lebih peka dan proaktif. Kita patutnya tahu kesan berdegil menggunakan juga kenderaan peribadi tanpa had. Tak patut kita teruskan sebarang pembakaran secara terbuka. Membeli-belah mahupun bersiar boleh ditangguhkan ke hari lain. Amat menyedihkan bahaya jerebu menjadi 'sifar' di kawasan Mega Sale'.

...............

Jerebu adalah lambang ketidakpastian. Ia lambang siang yang kelam. Jarak penglihatan kita terhad. Apa yang patut kita nampak, kita tak nampak.

Yang peliknya mengikut statistik daripada unit trafik, jumlah kemalangan melibatkan semua kenderaan menurun secara mendadak. Bukan saja kemalangan maut, bahkan kemalangan melibatkan kecederaan kecil. Jumlah jenayah besar pun setakat ini berkurangan.

:) Mungkin inilah nilai kemanusiaan. Merasa dirinya teramat pandai, tahu serba-serbi. Lalu dia melakukan segala sesuatu yang pasti, termasuk yang salah dan merosakkan.

Bila dah jerebu, bila dah tak pasti, baru dia mula berhati-hati. Yang benar-benar nampak saja ada. Yang nampak tak nampak tu, lain kira. Jangan gopoh-gopoh, tenang.

Kita benci jerebu. Kita tidak suka ketidakpastian. Tapi kata watak Teacher Suraya dalam karya Memerdekakan Cinta Ratna, tulisan Sri Rahayu Mohd Yusop:

"Sesungguhnya setiap segala sesuatu itu ada hikmahnya. Walau kita perlu seribu tahun untuk memahaminya."

Thursday, August 04, 2005

mytheory 25

Faham Diri

p/s: Rupa-rupanya kaunselor saya itulah orangnya!

Seminggu ini memang saya benar-benar bergelumang dengan buku. Membaca memang hobi saya, tapi jarang sekali saya jadikan ia sebagai satu aktiviti sampingan yang utama. Saya memang punya banyak hobi; ke sana ke mari, cari aktiviti baru untuk diceburi, menyusahkan diri dan mungkin juga membuka ‘cawangan-cawangan’ baru.

Lalu minggu ini saya kurang sihat;dispesifikkan selsema dan demam. Hairan juga kerana saya tiba-tiba saja demam pagi tiba kembali di kampus. Sebelumnya sewaktu dua hari di kampung, Alhamdulillah saya segar-bugar saja. Rindukan kampung? Baru benar saya pulang... Ish, bunyinya semacam benar-benar bukan saya :)

........................

Makin hari makin banyak pula saya jumpa istilah-istilah untuk ‘merenung diri’. Yang biasanya kita dengar (alim dan sangat islamik bunyinya), muhasabah. Self-realization dalam Inggeris. Dan baru-baru ini terkait pula minda saya pada satu cara yang digunakan oleh filusuf untuk memahami manusia, iaitu introspection. Looking into oneself to understand others.

Selepas begitu banyak yang berlaku, memang saya didesak untuk melakukan satu proses ‘renung diri’ yang benar-benar ikhlas dan serius. Memang kita biasa saja merenung diri sendiri, namun jarang renungan itu benar-benar mendalam dan mencakupi seluruh aspek.

Beberapa kesimpulan telah terhasil, dan saya rasa ada baiknya saya berkongsi juga dengan semua.

1. Masalah remaja (umum rasa, bukan kita seorang saja), adalah ketidakmampuan untuk menentukan matlamat dan nilai hidupnya yang sebenar. Dia tak kenal siapa diri dia. Dia segan nak nyatakan “inilah aku” sebab bimbang dibantah orang.
2. Remaja terlalu ghairah. Terlalu beremosi, terlalu mahu mengubah dunia. Kadang-kadang dia lupa pada realiti yang memerlukan masa untuk berubah. Jadi kerapkali jadinya remaja menyalahkan dunia. “Dunia memang tak adil.”
3. Remaja sukar membuat prioriti. Ini benar-benar saya rasakan pada diri saya sendiri. Oleh sebab ada satu pertengkaran dalam diri antara kemahuan diri dan harapan ibubapa, saya sering cuba buat kerja rangkum semua. Saya gagal menyedari bahawa saya ini manusia biasa, lemah dan tidak bermaya.
4. Remaja ingin membentuk diri, jadi sedaya upaya mahu jadi yang terbaik. Oleh sebab nilai masyarakat kita mengatakan bahawa jadi yang terbaik itu sama dengan langsung tak buat silap, maka saya kerap kali jadi amat sugul dan menyesal bila melakukan kesalahan. Di sini saya kena belajar kawal emosi dan kesilapan mentafsir situasi.

....................................................

Mula-mula saya akan ubah diri saya mengikut apa saja yang orang mahu, saya bencikan konflik dan langsung tak mahu ada orang tak suka dengan apa yang saya lakukan. (Kesilapan1 : Melihat bahawa bila orang benci ‘perbuatan saya’, maka orang itu benci ‘saya’.)


Kemudian saya langsung enggan berubah mengikut keadan. Apa yang orang kata pada saya langsung saya abaikan dan tak ambil peduli, tak ambil port langsung. Saya rasa semua manusia terlalu banyak harapan tak tercapai. Sebab mereka tak larat, maka mereka nak bebankan saya dengan semua harapan itu.

(Kesilapan 2 : Saya tak boleh bezakan antara perasaan pesimis/ pandangan negatif pada dunia dengan perkara yang boleh diguna pakai. Saya terlalu mementingkan pandangan pada individu, bukan pada isi kandungan percakapannya.)

Sekarang saya mula menerima beberapa unsur tentang diri saya. Saya mula belajar tentang apa yang saya suka, dan apa yang saya tak suka. Saya mula berani ekspresi diri saya, tak perlu lagi terikut-ikut. Paling penting, saya mula terima siapa saya sebenarnya.

Perubahan ini kalian boleh tengok pada bentuk blog saya. Dan memang perubahan-perubahan itu menunjukkan bagaimana saya berubah sebagai seorang individu. Doanya ia ke arah lebih baik.

Monday, August 01, 2005

mytheory25

mytheory

AP : Approved Permit , Ayah Pin


Appproved Permit

Kucing-kucing gemuk yang tidak kompetatif. Contoh tongkat untuk orang Melayu. Satu cara untuk orang Melayu miliki 30% daripada DEB.

Cukai kenderaan yang terlalu tinggi. Cukai itu tak bolehkah digunakan untuk menampung kenaikan bahan api. Ke mana cukai ratus kali ganda ini dibelanjakan?

Kita mesti tahu. Ini zaman terbuka. Zaman transperen. Jangan nanti transperen, nampak semua, kerana dah kosong. Dah takde apa, jadi nampaklah semua.


Ayah Pin

Ayah Pin orang Terengganu. Dia dah lama aktif dan dah lama ada pengikut. Tapi dia tak glamer. Baru-baru ini dia glamer.

Dalam surat khabar bahasa Malaysia, begitu hebat kebencian pada kesesatan Ayah Pin. Dalam surat khabar Inggeris, berita lebih pada kejayaan pengikut Ayah Pin. Dapat kebebasan kerana polis dan JHEAT dilapor tidak melakukan tugas dengan betul. Pertemuan dengan SUHAKAM.

Mungkin IKIM, JAKIM dan JHEAT lebih takut pada Ayah Pin yang kononnya boleh terbang ke langit. Saya lebih takut pada IRC. Suruhanjaya Antara Agama cuma tunggu hari jika badan-badan bawah nama Islam makin hari makin lemah penguatkuasaan.

Islam tidak perlu berada di bawah badan khusus jika kes kecil dan lemah pun tak mampu diurus. Apatah lagi jika mufti dan ulama' pun tak tak jelas dan tak tahu apakah bidang kuasa mereka. Biar IRC pula ambil alih.

Mungkin ada bagusnya juga cadangan untuk memansuhkan nama Islam daripada mana-mana badan. Semua termasuk badan kerajaan pun tak boleh pakai kerana semua sekali menunjukkan jumud dan bebalnya mereka pada isu sebenar orang Islam.

............

Sepatutnya ada usaha memahami 'yang di sebalik'. Bukan takat main di pinggiran saja. Tak kiralah awak takut ombak ke tak. Kerana jika awak tak berumah di tepi pantai pun, memang sekarang tsunami boleh serang Malaysia. 5 hingga 10 kilometer pun boleh sampai. KLCC boleh runtuh.

Approved Permit, kenaikan bahan api, isu ajaran sesat, kedudukan ekonomi orang Melayu, penggunaan bahasa Inggeris dalam pelajaran kritikal.

Itu hanya sebahagian. Yang benar-benar perlu kajian.

reallifegoeslikethis

reallifegoeslikethis

Blog : Membogelkan Diri Pada Dunia

Sepatutnya tulisan ini boleh dikategorikan di bawah my_theory, cuma oleh kerana saya menaip dalam keadaan hidung berbunyi his-his-his (bukan nak mengawan, saya demam), maka ia jadi lebih peribadi.

..................

Saya pernah menulis tentang blog awal blog my_theory dulu. Saya mempersoalkan blog sebagai suatu saluran realiti terpilih yang gila glamor, lari daripada dunia sebenar dan mungkin juga satu saluran alternatif.

Akhir-akhir ini, saya jadi makin malas nak menulis di blog. Antaranya tentu sahaja kerana kerja-kerja saya makin banyak. Tapi menggunakan alasan 'sibuk' nampaknya terlalu daif dan 'melarikan diri'. Sejujurnya saya bukan lagi orang di dunia blog.

Saya makin merasakan bahawa ini bukan lagi medium saya. Saya makin pesimis dan anti mungkin dengan dunia blog. Bukan kerana saya tak mahu berkongsi atau tiba-tiba saja jadi sensitif amat macam pokok semalu, cuma saya rasa macam membogelkan diri bila menulis di blog.

Ada benarnya komen-komen yang pernah diberi di awal penulisan saya lama dulu. "Adakah awak menulis untuk bising-bising pada dunia? " "Adakah anda tak berani bersuara dalam dunia sebenar?"

Dan bila soalan-soalan itu diulang tanya lagi baru-baru ini, saya jadi macam tersedar. Mungkin saya tidur dan bermimpi sebelum ini. Mungkin mimpi itu enak sangat sampai saya tak nak bangun dan pura-pura pengsan.

..............

Serasa bila menulis di medium yang bersifat global dan world-wide ini, saya begitu gila nak mendedahkan tentang diri di mata dunia. Seolah-olah setiap apa yang berlaku pada diri sendiri amat penting dan perlu diketahui dunia. Saya terlalu memandang tinggi pada diri sendiri.

Lebih daripada itu, kadang-kadang saya terlupa bahawa apabila saya menulis, semua boleh / akan / mungkin membaca tulisan saya itu. Blog tidak bersifat personal. Ia sangat publik, sangat terdedah pada semua pendapat dan pandangan orang. Apabila saya cuba menjadi blog itu se personal yang boleh, serahsia dan misteri yang mungkin, saya semacam badut sarkas yang terjoget-joget atas pentas.

Bila orang tertawa, saya pura-pura gembira. Pura-pura kononnya saya gembirakan hati mereka. Padahal mereka mentertawakan saya. Mereka menjadikan saya bahan gurauan.

.............

Blog adalah satu kaedah komunikasi. Sama seperti surat, e-mail, telefon, voice- messaging, sms. Cuma masalahnya ramai daripada kita (baca: saya) tersilap dengan fungsi dan kemampuannya.

Saya mengganggap blog macam handphone. Memang ia boleh jadi macam handphone. Ia boleh dijadikan serahsia dan personal yang mungkin. Silapnya kerap kali saya lupa bahawa masa saya gunakan handphone itu, saya dah aktifkan loud speaker. Semua boleh dengar, semua boleh interpretasi.

Saya dah jadikan setiap butir, setiap apa yang saya miliki hak dan milik orang juga. Lama-lama tanpa saya sedar, ruang saya dah jadi ruang orang. Semua rasa mereka berhak tahu juga. Setiap itu sebahagian daripada mereka juga.

............

Lalu yang bermain-main dalam kepala saya adalah kata-kata bijakpandai dulu kala :

"Makin banyak kita tahu, makin sedar kita akan kebodohan kita."

Saya tambah, " makin banyak cara kita boleh tahu sesuatu, makin senang kita nak tonjolkan kebodohan kita."

Mungkin awak akan kata pada saya "Orang demam bawak rehat banyak-banyak. Bahaya. Ni pun dah nampak ada mereng sikit-sikit."

Memang semangat nak berubah, jadi lebih baik (pada pendapat diri) macam demam. Ia panas-panas suam. Tak lama nanti kebah dan hilang.